Pages

Sunday, July 25, 2010

Pelajar militan disingkir

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

TEMERLOH 25 Julai – Kementerian Pengajian Tinggi akan menyingkirkan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang terbabit dengan kumpulan militan seperti Jemaah Islamiah (JI) atau mana-mana kumpulan yang menyalahi undang-undang negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya memandang serius pembabitan pelajar IPTA dalam kegiatan itu kerana ia boleh menggugat keselamatan dan kestabilan negara.

“Kita memantau setiap masa pergerakan dan aktiviti pelajar, malah tiada maaf bagi mereka yang menjadi ahli kumpulan pengganas ini.

“Tindakan menyingkir dan menarik balik serta-merta biasiswa atau pinjaman akan dilakukan setelah pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan mereka terbabit,” jelas Saifuddin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Forum Wacana di Sekolah Agama Rakyat Felda Lakum, Lanchang dekat sini semalam.

Menurut beliau, kerajaan tidak akan membiarkan kegiatan bahaya kumpulan militan seperti JI atau lain-lain kumpulan menular di pusat pengajian tinggi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh memberitahu, terdapat lebih 50,000 pelajar negara ini menuntut di luar negara dan daripada jumlah itu 6,000 daripadanya belajar di Asia Barat.

Tambahnya, sehingga ini belum ada lagi pelajar tajaan kerajaan dilaporkan terbabit kegiatan militan tetapi terdapat segelintir pelajar persendirian pernah terbabit dengan kumpulan itu di luar negara beberapa tahun dahulu.

Menurutnya, kementerian itu mengadakan latihan dan kursus kepada pelajar sebelum dihantar keluar negara bertujuan memberi kefahaman supaya mematuhi undang-undang di negara mereka belajar.

Dalam pada itu, kata Saifuddin, terdapat 14 pegawai khas kementerian ditempatkan di luar negara yang sentiasa membuat pemantauan dan laporan berkala kepada kerajaan tentang perkembangan semasa pelajar yang menuntut di sana.

No comments:

Post a Comment