Pages

Sunday, July 25, 2010

Pelajar militan disingkir

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

TEMERLOH 25 Julai – Kementerian Pengajian Tinggi akan menyingkirkan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang terbabit dengan kumpulan militan seperti Jemaah Islamiah (JI) atau mana-mana kumpulan yang menyalahi undang-undang negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya memandang serius pembabitan pelajar IPTA dalam kegiatan itu kerana ia boleh menggugat keselamatan dan kestabilan negara.

“Kita memantau setiap masa pergerakan dan aktiviti pelajar, malah tiada maaf bagi mereka yang menjadi ahli kumpulan pengganas ini.

“Tindakan menyingkir dan menarik balik serta-merta biasiswa atau pinjaman akan dilakukan setelah pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan mereka terbabit,” jelas Saifuddin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Forum Wacana di Sekolah Agama Rakyat Felda Lakum, Lanchang dekat sini semalam.

Menurut beliau, kerajaan tidak akan membiarkan kegiatan bahaya kumpulan militan seperti JI atau lain-lain kumpulan menular di pusat pengajian tinggi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh memberitahu, terdapat lebih 50,000 pelajar negara ini menuntut di luar negara dan daripada jumlah itu 6,000 daripadanya belajar di Asia Barat.

Tambahnya, sehingga ini belum ada lagi pelajar tajaan kerajaan dilaporkan terbabit kegiatan militan tetapi terdapat segelintir pelajar persendirian pernah terbabit dengan kumpulan itu di luar negara beberapa tahun dahulu.

Menurutnya, kementerian itu mengadakan latihan dan kursus kepada pelajar sebelum dihantar keluar negara bertujuan memberi kefahaman supaya mematuhi undang-undang di negara mereka belajar.

Dalam pada itu, kata Saifuddin, terdapat 14 pegawai khas kementerian ditempatkan di luar negara yang sentiasa membuat pemantauan dan laporan berkala kepada kerajaan tentang perkembangan semasa pelajar yang menuntut di sana.

Unimap, universiti Saudi kongsi kepakaran

KANGAR 23 Julai - Universiti Malaysia Perlis (Unimap) akan berkongsi kepakaran dengan Universiti Islam Al-Imam Muhammad Ibn Saud di Arab Saudi untuk melonjakkan lagi kecemerlangan akademik mahasiswa kedua-dua universiti itu.

Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, beliau amat menyanjung tinggi usaha yang dilakukan oleh pihak Universiti Al-Imam yang sanggup datang ke Malaysia semata-mata untuk berkongsi ilmu dan kepakaran yang mereka miliki.

"Sesungguhnya hanya Allah yang mampu membalas kebaikan ini," katanya ketika berucap pada majlis makan malam meraikan delegasi dari Arab Saudi itu di sini malam tadi.

Pada majlis itu, Universiti Al-Imam Muhammad diwakili oleh tiga pegawai tingginya iaitu Profesor Dr. Abdulaziz A. Al-Mahmoud, Dr. Omar Al-Mahmoud dan Dr. Khaled Al-Malik.

Mereka datang ke negeri ini untuk mengadakan sesi taklimat dan temuduga bagi kursus yang akan diadakan di Kolej Undang-Undang universiti itu di Riyadh mulai 9 Oktober hingga 22 November ini.

Kamarudin turut menyatakan kebanggaannya apabila pihak universiti itu sedia memberi biasiswa kepada dua kakitangan Unimap yang akan menyambung pengajian peringkat sarjana dan kedoktoran. (dipetik dari Utusan Malaysia)

SPP dedah punca pelajar UPSI gagal temuduga

Tanjong Malim , 20 Julai - Surunhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (SPP) mendedahkan punca-punca kegagalan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam temuduga 'posting' pada sesi yang lepas.

Menurut maklumat dari e-mail yang diterima Upsikini, punca tersebut diedarkan SPP kepada para Dekan Fakulti dalam Majlis Ramah Mesra SPP dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris baru-baru ini.

Pendedahan terbabit diedarkan kepada UPSI bagi meneliti kelemahan-kelemahan yang dinyatakan dan mengambil tindakan menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran dalam program masing-masing.

Dalam hal berkaitan, baru-baru ini, lebih 600 dari pelajar UPSI gagal dalam temuduga disebabkan oleh faktor-faktor seperti yang dilampirkan. untuk keterangan lanjut sila buka laman web dibawah
http://upsikini.blogspot.com/2010/07/spp-dedah-punca-pelajar-upsi-gagal.html

Dirogol dengan rela, mengawan nafsu syaitan

SETIAP kali berakhirnya sambutan yang membabitkan ‘kemeriahan’ pada sebelah malamnya di negara ini, tiga bulan selepas itu akan menyaksikan peningkatan kes membuang bayi dan mengandungkan anak luar nikah.

Tempoh ini ibarat ‘musim mengawan’ kerana tiga bulan selepas itu rumah perlindungan wanita akan mencatatkan peningkatan kes wanita tidak bersuami mengandung memohon ‘perlindungan’ dan di seluruh negara pula akan mencatatkan kes buang bayi sama ada yang ditemui masih hidup atau ada janin dibuang di dalam semak, tandas awam atau pusat pembuangan sampah.

Cukup menarik untuk membicarakan topik ini kerana umumnya ia membabitkan pasangan yang mengadakan hubungan intim membawa kepada perlakuan seks terlarang. Soal sah atau haram diketepikan pelakunya, asalkan hasrat nafsu serakah dicapai.

Istilah ‘mengawan’ mungkin lebih menjurus kepada binatang dan konteks ini ia memang normal, bahkan soal bertukar pasangan bukan masalah besar. Bagaimanapun, dalam lingkungan penghidupan manusia normal, apatah lagi umat Islam yang tergolong dalam kategori berpelajaran dan pendidikan tinggi, ia sepatutnya tidak berlaku.

Menariknya, ‘musim mengawan’ ini berlaku serentak setiap kali adanya sesuatu sambutan membabitkan cuti umum atau dikaitkan dengan meraikan bersama kekasih seperti Tahun Baru, kemerdekaan atau ‘Hari Kekasih’ (Valentine’s Day).

Ketika itu jugalah, anak muda bergelar pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) tidak terkecuali ‘mengawan’ sama ada mendapat persetujuan bersama atau tidak sengaja bersama pasangan masing-masing.
Penghuni Kem Bina Insan Kewaja mengikuti sesi agama dan kaunseling.

Soal hukum agama diketepikan sama sekali, soal baik buruknya perbuatan mereka yang bergelar pelajar universiti juga dibuang ke dalam tong sampah. Paling penting, naluri hati dan nafsu mesti dipenuhi.

Kenyataan ini bukan omongan kosong. Hakikatnya, jika dilihat pada statistik kes buang bayi atau kes gadis mengandung anak luar nikah, ia secara konsisten menunjukkan trend ini selepas beberapa bulan atau maksimum sembilan bulan selepas sesuatu perayaan berlangsung.

Ini diakui Pengarah Kem Modal Insan Kewaja, Yahya Mohamed Yusof, 45, yang kini sudah mengendalikan lebih 3,000 kes mengandung anak luar nikah sejak 1998. Rata-ratanya berusia 17 hingga 23 tahun yang mana mereka sebenarnya dalam peringkat mencari ilmu, bukannya mencari keseronokan seks.

Kewaja yang ditubuhkan atas inisiatif Yahya bersama isterinya, kini dikhaskan untuk membantu dan menguruskan gadis mengandung anak luar nikah, bertujuan membawa mereka kembali ke pangkal jalan dan pada masa sama mengelak meningkatnya kes membuang bayi.
Pesta hiburan dan sambutan Hari Kekasih banyak menyumbang kepada perlakuan seks bebas.

“Kira-kira 50 peratus daripada mereka pelajar sekolah menengah atas dan IPT. Memang diakui, setiap kali tiba musim perayaan, kami akan menerima banyak kemasukan baru beberapa bulan selepas itu.

“Kita perlu melihat ke belakang untuk mengkaji fakta itu dan ia dikira berdasarkan usia kandungan mereka. Kebanyakan mereka mengandung pada bulan yang memang ada sesuatu perayaan atau sambutan berlangsung. Kononnya itu masa bersuka ria.

“Kita jangka pada sambutan Hari Kekasih pada Februari lalu kes gadis mengandung di luar nikah akan meningkat selepas Mei kerana kebiasaannya, gadis terbabit hanya menyedari mereka mengandung tiga bulan selepas itu,” katanya.

Ketika ini pusat itu menguruskan 55 peserta wanita yang sedang menunggu masa kelahiran bayi mereka mengikut tempoh berbeza. Puratanya, dianggarkan antara 15 hingga 20 orang akan keluar masuk pusat itu setiap bulan.

Logiknya, itu hanya statistik daripada sebuah pusat sukarela, belum dikira pusat lain, kes mendiamkan diri atau yang nekad menggugurkan anak semata-mata mahu mengelak menanggung aib diri dan keluarga.

Berdasarkan kaji selidik dan pengalaman Yahya menguruskan pusat itu sejak 21 tahun lalu, ada antara peserta yang beranggapan pertemuan romantik pasangan kekasih sempena Hari Kekasih atau cuti umum sebagai simbolik upacara ‘pecah dara’.

Berlainan bagi Yahya yang tetap menganggap semua gadis di bawah jagaannya sebagai mangsa rogol walaupun ada yang mengadakan seks atas dasar suka sama suka.

“Seks mestilah melalui proses yang betul, mesti ada peraturan. Tiada wanita yang merancang membuatkan diri dilanda musibah, ini semua disebabkan tipu daya lelaki. Tiada yang teringin nak mengandung anak luar nikah.

“Saya anggap semua kes di sini sebagai kes rogol disebabkan mereka jadi pemuas nafsu lelaki. Apa yang boleh disimpulkan ialah bencana maksiat iaitu semua jenis maksiat di negara kita semakin teruk, perlu ada sikap menegur dan mencegah,” katanya.

Gadis serah tubuh selepas terjerat umpan cintaBAGI sesetengah pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), ada yang sanggup memendekkan cuti semester dua bulan di kampung bersama keluarga semata-mata mahu menghabiskan masa bersama teman lelaki di kampus di penghujung musim cuti.

Tempoh masa cuti semester itu juga dianggap masa paling sesuai untuk berpacaran dan lebih teruk ia adalah masa ‘tepat’ untuk mengawan kerana mereka baru saja selesai melepaskan beban menduduki peperiksaan dan semester baru belum bermula.

Mengakui hakikat itu, Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mariani Md Nor, menjelaskan apabila dalam keadaan berdua-duaan, ia akan mengaktifkan naluri ghairah manusia.

“Itu sebenarnya memberi ruang dan peluang. Waktu mengawan ini juga bermusim, sama seperti jenayah lain, ada kesinambungan tetapi kesannya akan sentiasa diingati. Ia berlaku pada masa tertentu, musim balik bercuti semester, waktu perayaan, misalnya sambutan tahun baru dan Hari Kekasih.

“Jika dibincangkan dalam aspek IPT, sesetengah universiti ketika ini adalah musim peperiksaan dan cuti akan bermula Mei hingga Julai ini. Tetapi peliknya, ramai yang akan datang awal, itulah masa nak memadu kasih, jumpa kekasih,” katanya.

Selain aspek hubungan pasangan kekasih, Dr Mariani juga menegaskan ada antara pelajar yang sebenarnya terhutang budi dengan ‘pelabur’ terdiri daripada individu yang sudah bekerja, bahkan berumahtangga yang banyak membantu mereka mengatasi masalah kewangan kritikal.

Mereka berkawan rapat, diberi sokongan kebendaan, komputer riba dan wang ringgit menyebabkan mereka mudah merelakan apa saja kehendak teman lelaki mereka.

“Apabila ada individu yang boleh memudahkan kehidupan, keperluan mereka akan mudah terjerumus ke arah perbuatan moral tidak sihat. Bagaimana seseorang berpendidikan tinggi tidak boleh menilai bahawa seseorang yang memberikan kemewahan sebenarnya mengharapkan ganjaran.

“Berdasarkan pengalaman dalam mengendalikan kes begini, kebanyakan mereka hanya sedar apabila berlaku sesuatu yang tidak sepatutnya, terlanjur atau mengandung. Ini belum dikira kategori bersekedudukan… sudah macam suami isteri,” katanya.

Apabila keadaan bertambah genting, pasti mereka akan mencari jalan penyelesaian, jika bernasib baik, mereka akan ditunjukkan jalan yang betul, mendapatkan nasihat tetapi jika tersalah tempat sudah pasti akan ada yang mengesyorkan supaya menggugurkan kandungan.

“Mendapatkan pertolongan keluarga adalah perkara paling berat dan sukar kerana sudah pasti akan dimarahi. Caranya ialah mereka mendapatkan pandangan rakan rapat, tetapi kami nasihatkan supaya teruskan kandungan, pergi ke saluran tertentu, kaunselor atau badan bukan kerajaan (NGO).

“Mereka sudah buat salah, jangan buat kesalahan kedua membuang atau membunuh bayi dalam kandungan. Masih ada ruang untuk perbaiki dan pulihkan akhlak.

Namun, tegasnya dalam mengendalikan masalah ini, masyarakat perlu mengubah stigma negatif yang memandang serong mengandung anak luar nikah kerana ada kes teraniaya, misalnya dirogol ketika dalam keadaan khayal.

Kes pelajar mengandung sebelum kahwin

Kes pertama:

SARA (nama samaran), kini berusia 21 tahun. Ketika rakan sekelasnya sedang berjuang menghabiskan masa belajar di dewan kuliah, beliau kini menunggu masa saat kelahiran bayinya yang dijangka penghujung Mei ini.

Kejadian yang berlaku bukan keinginannya, tetapi akibat ledakan nafsu yang gagal dikawal, beliau menanggung sengsara mengandung anak luar nikah. Teman lelakinya menuntut di IPT sama meneruskan pengajian, meneruskan lakonan seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Biarpun bergelar pelajar universiti yang sepatutnya berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu, ia bukannya tembok kebal yang kukuh menahan nafsu serakah, segala-galanya bermula ketika musim cuti semester pada 2008, ketika usia Sara baru mencecah 20 tahun.

Sara dan temannya lelakinya sudah lama berkenalan sejak di bangku sekolah di selatan Semenanjung. Boleh dikatakan, sama-sama masuk universiti dan berulang alik ke kampung setiap kali cuti kerana haluan mereka juga sama.

Detik malang hidupnya bermula pada September lalu ketika beliau bersama teman lelakinya tiba di ibu negara menaiki bas untuk pulang ke kampus. Ketika itu Ramadan, bulan mulia bagi umat Islam mengerjakan puasa.

Hendak dijadikan alasan atau itu memang perancangan, mereka tiba lewat malam di ibu negara. Anehnya, ketika jam 11 malam, mereka mendakwa kebuntuan bagaimana mahu pulang ke kampus, lantas menyewa hotel murah sekadar untuk bermalam sementara menunggu siang untuk pulang.

Meskipun bas atau komuter, transit aliran ringan (LRT) sudah tamat perkhidmatannya, ibu kota sebenarnya tidak pernah sunyi untuk mendapatkan khidmat teksi, ke mana saja destinasi.

Apabila berdua di dalam bilik hotel, sudah tentu ada pihak ketiga. Meskipun Sara dan pasangannya penuntut kursus agama, ternyata bekalan ilmu agama mereka masih kurang sekali gus hanyut atas desakan syaitan.

“Ini bukan soal ganjaran, soal hadiah atau suka sama suka. Kami hanya lakukan sekali saja. Terus melekat dan saya hanya sedar mengandung apabila masuk bulan kelima. Perut saya kecil, sebab itu tidak ketara.

“Walaupun agak pelik kerana sudah beberapa bulan tidak datang haid, saya anggap perkara biasa hingga masuk bulan kelima.

“Kami berusaha mencari jalan termasuk melalui internet. Akhirnya kami menemui pusat Kewaja dan datang ke sini. Saya akan serahkan anak ini kepada keluarga angkat dan teruskan pengajian selepas ini,” katanya dengan air mata bergenang.

Sehingga kini, ibu bapanya masih belum tahu bahawa anak kesayangan mereka sebenarnya bercuti daripada pengajian kerana menunggu masa menyambut kelahiran anak yang tidak dirancang.

Kes kedua.

INA (nama samaran) juga mempunyai masalah dan jalan cerita hampir sama dengan Sara. Semuanya berlaku ketika cuti semester.

Gadis Pantai Timur ini juga bermalam bersama kekasihnya gara-gara kehabisan tiket bas ekspres untuk pulang bercuti ke kampung halaman di negeri berjiran. Ketika itu, usianya baru 18 tahun dan kini pelajar sebuah institut pendidikan itu bakal bergelar ibu ketika usianya memasuki 19 tahun.

Beliau mendakwa dipaksa teman lelakinya mengadakan seks. Sebaik saja mereka mendapati tiket bas ekspres habis, teman lelaki Ina membawanya bermalam di rumah nenek dan di situlah bermula detik hitam dalam hidupnya.

“Kami hanya lakukan hubungan seks sekali saja dan saya teruskan pengajian seperti biasa. Teman lelaki tidak bekerja dan sebenarnya kami baru beberapa bulan berkenalan. Saya hanya sedar mengandung selepas tiga bulan.

“Memang keluarga mengamuk dan ibu saudara yang menghantar saya ke sini. Mereka bimbang masa depan saya dan anak,” katanya.

Ditanya kenapa tidak membuat laporan polis jika dirogol, Ina terdiam dan jelasnya, bapa anak itu adalah teman lelakinya.

PELAJAR UPSI BELUM TNTU JADI GURU? (dipetik dari Utusan Malaysia Online)

JIKA anda bercita-cita menjadi guru dan ditawarkan belajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), jangan cepat teruja. Ini kerana, anda belum tentu lagi menjadi guru sekalipun anda berjaya mendapat segulung ijazah dari universiti ini.

Masyarakat masih beranggapan bahawa nasib graduan ijazah pertama UPSI sama seperti graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) iaitu mereka akan menjadi guru dan ditempatkan di sekolah-sekolah Malaysia. Anggapan ini salah. Semakin hari, UPSI semakin melupakan peranannya mendidik dan melahirkan guru Malaysia dan semakin ghairah menawarkan kursus-kursus untuk pasaran terbuka bukan guru.

UPSI meminggirkan bidang pendidikan siswazah guru secara sistematik dengan berselindung di sebalik nama perancangan penjenamaan dan penstrukturan semula fakulti. Semua kursus-kursus yang berkaitan dengan subjek mata pelajaran sekolah di kesemua lapan fakulti yang ada sebelum ini mula dipinggirkan dengan melonggokkannya di satu fakulti saja iaitu Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia.

Tindakan peminggiran ini jelas apabila pensyarah-pensyarah yang mengajar kursus-kursus Sains dan Matematik untuk bakal-bakal graduan guru sekolah dikeluarkan dari Fakulti Sains dan Teknologi serta dilonggokkan di Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia.

Alasannya, pensyarah-pensyarah ini fokus kepada subjek Sains dan Matematik yang akan diajar di sekolah-sekolah dan seharusnya dipindahkan ke fakulti berkenaan. Saki baki Fakulti Sains dan Teknologi yang tertinggal diberi penjenamaan semula dengan nama Fakulti Sains dan Matematik.

Jika berasaskan kepada sebab yang diberikan, ini bermakna Fakulti Sains dan Matematik hanya akan menawarkan kursus-kursus untuk pasaran terbuka bukan guru sahaja. Jika UPSI membuat pengkelasan berdasarkan kriteria sebegini, kesannya nanti, hanya tinggal Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia sahaja yang mendidik graduan bakal guru manakala lapan fakulti lain yang selebihnya akan menawarkan kursus-kursus untuk pasaran terbuka.

Layakkah UPSI terus memegang gelaran universiti pendidikan jika nanti hanya satu daripada sembilan fakultinya yang fokus kepada pendidikan guru? Apa akan jadi dengan tujuh fakulti lama yang tinggal dan satu fakulti baru yang telah ditubuhkan? Semuanya untuk pasaran terbuka bukan guru?

Sebenarnya, penstrukturan semula fakulti lebih kepada gimik pihak pengurusan untuk mengaburi mata masyarakat yang kononnya telah berlaku perubahan besar di UPSI. Kenyataannya, perubahan hanya kepada kedudukan bilik-bilik pensyarah akibat dipindahkan ke ‘fakulti longgok’. Mereka masih mengajar mata pelajaran yang sama kepada pelajar. Tidak ada apa-apa nilai tambah yang diperoleh daripada penstrukturan ini, selain menyusahkan pihak-pihak yang terlibat. Inilah penjenamaan semula dan penstrukturan semula fakulti yang UPSI banggakan sekarang.

UPSI kini berhasrat untuk menggadaikan warisan tradisinya mendidik guru. Sedangkan universiti-universiti lain berusaha untuk menawarkan lebih banyak kursus pendidikan tetapi UPSI sendiri mula meminggirkan bidang pendidikan guru yang menjadi darah daging UPSI sejak zaman SITC tahun 1922 lagi.

Inilah salah satu contoh masalah yang berlaku.

Barangkali UPSI berpendapat, hak untuk menawarkan sebarang kursus adalah hak UPSI. Masalah untuk menempatkan graduannya di sekolah-sekolah adalah masalah Kementerian Pelajaran. UPSI tidak perlu fikir itu semua sebab yang paling penting, UPSI boleh nampak gah menawarkan kursus-kursus yang tidak ditawarkan oleh Institut Pendidikan Guru atau mana-mana IPTA lain. Masalah penempatan guru untuk graduannya, biarlah kementerian berkenaan yang selesaikan.

Nyata sekali, UPSI tidak pernah mengkaji sedalam-dalamnya pasaran guru untuk kesemua graduannya. Semakin hari, semakin galak UPSI merancang dan menawarkan pelbagai kursus yang tidak relevan dengan keperluan kurikulum sekolah-sekolah di Malaysia. UPSI semakin lupa diri dan merasakan ia perlu sama dengan IPTA lain. Sebab itulah UPSI ingin sama-sama berlumba dengan IPTA dan IPTS lain dalam menawarkan lebih banyak kursus untuk pasaran bukan guru.

Sifat angkuh UPSI sekarang yang enggan memahami keperluan kementerian adalah punca utama masalah penempatan graduannya di sekolah-sekolah.

Untuk mengubat hati, UPSI mengatakan bahawa graduannya masih boleh menjadi pensyarah di politeknik.

Sebenarnya, peratusan graduan UPSI yang berjaya menjadi pensyarah di politeknik amatlah kecil. Jika benar peratusannya tinggi, hebahkanlah jumlah peratusannya kepada masyarakat supaya boleh menjadi kebanggaan. Masyarakat di luar sana berhak tahu kerana mereka yang akan menghabiskan banyak duit menghantar anak-anak mereka belajar di UPSI.

Kepada anda yang benar-benar bercita-cita menjadi guru, anda berhak membuat pilihan yang lebih tepat. Ketika ini, pilihan terbaik anda adalah Institut Pendidikan Guru (IPG) kerana selain mendapat bantuan elaun semasa belajar, peluang untuk ditempatkan di sekolah-sekolah juga jauh terjamin berbanding graduan UPSI. Setidak-tidaknya, anda tidak akan menganggur untuk satu tempoh yang lama sambil menanggung beban dengan hutang PTPTN. Semak semula surat tawaran anda jika ditawarkan ke UPSI dan fahamilah erti sebenar ‘kursus terbuka’ jika tertulis di dalamnya. Pilihan sebenar di tangan anda.


Tanjung Malim, Perak">

LEPASAN SPM/SETARAF (panduan untuk anda)

Prosedur Pembelian Nombor Unik ID

a. Mengemukakan Kad Pengenalan/ MyKad/ Nombor LPM atau
salinan Kad Pengenalan/ MyKad semasa membuat
pembelian Nombor Unik ID untuk tujuan pemprosesan
Nombor Unik ID bagi mengelakkan sebarang kesilapan.

b. Hanya pemohon yang mengemukakan dokumen di atas
sahaja boleh membeli Nombor Unik ID dan seterusnya
membuat permohonan kemasukan ke IPTA.

c. Pemohon dikehendaki membayar wang berjumlah RM 10.60
untuk membeli Nombor Unik ID di mana-mana kaunter Bank
Simpanan Nasional (BSN) seluruh Malaysia.

d. Pembelian melalui mesin ATM dan SMS Banking hanya
bagi pemohon yang mempunyai Akaun GIRO BSN.

e. BSN akan mengeluarkan slip resit yang mengandungi
Nombor Unik ID pemohon berdasarkan Nombor Kad
Pengenalan/ MyKad/.

f. Bagi setiap ketegori dalam Program Pengajian Lepasan
SPM/Setaraf, satu calon akan memperolehi hanya satu
Nombor Unik ID.

g. Pesanan Nombor Unik ID bagi pemohon STPM dan STAM di
sekolah secara pukal (blok) melalui BSN.

h. Pembelian Nombor Unik ID juga boleh dibuat di kaunter BSN
/ ATM / SMS Banking bagi pemegang Akaun GIRO untuk
Pelajar Lepasan SPM
Calon dibenarkan mengemukakan satu (1) permohonan sahaja
dan 3 kali pengemaskinian sehingga tarikh tutup
permohonan.

LEPASAN STPM/SETARAF (panduan untuk anda)

Prosedur Pembelian Nombor Unik ID

a. Mengemukakan Kad Pengenalan/ MyKad/ Nombor LPM/
Nombor MPM atau salinan Kad Pengenalan/ MyKad
pemohon semasa membuat pembelian Nombor Unik ID
untuk tujuan pemprosesan Nombor Unik ID bagi
mengelakkan sebarang kesilapan.

b. Hanya pemohon yang mengemukakan dokumen di atas
sahaja boleh membeli Nombor Unik ID dan seterusnya
membuat permohonan kemasukan ke IPTA.

c. Pemohon dikehendaki membayar wang berjumlah RM
15.60 untuk membeli Nombor Unik ID di mana-mana
kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh
Malaysia.

d. Pembelian melalui mesin ATM dan SMS Banking
hanya bagi pemohon yang mempunyai Akaun GIRO
BSN.

e. BSN akan mengeluarkan slip resit yang mengandungi
Nombor Unik ID pemohon berdasarkan Nombor Kad
Pengenalan/ MyKad.

f. Bagi setiap ketegori dalam Program Pengajian Lepasan
STPM/Setaraf, satu calon akan memperolehi hanya satu
Nombor Unik ID.

g. Pesanan Nombor Unik ID bagi pemohon STPM dan
STAM di sekolah secara pukal (blok) melalui BSN.

h. Pembelian Nombor Unik ID juga boleh dibuat di kaunter
BSN / ATM / SMS Banking bagi pemegang Akaun GIRO
untuk Pelajar Lepasan Kelayakan Setaraf mulai 04
Januari 2010

i. Pembelian Nombor Unik ID juga boleh dibuat oleh pelajar
Lepasan STPM dan STAM mulai 01 Februari 2010
Calon dibenarkan mengemukakan satu (1) permohonan
sahaja dan 3 kali pengemaskinian sehingga tarikh tutup
permohonan.